Selasa, 5 Mac 2013

Mengenali Ciri-Ciri Seorang Kanak-Kanak

Mari sama-sama kita memahami kanak-kanak kecil di Permata....
Setiap anak yang lahir ke dunia ini adalah juara. Kejayaannya menyaingi dan mengalahkan jutaan saingannya dalam proses persenyawaan melayakknya untuk terus bergelar juara sehinggalah dia berjaya keluar dan dilahir ke dunia ini. Sebenarnya apabila dia keluar ke dunia ini, anak ini terus bersaing dan berjuang untuk mendapat tempat yang terbaik dan cemerlang di dunia ini pula.
Sebab itulah Allah swt menjelaskan tabiat kejadian manusia yang sentiasa dalam kesusahan dan keluh kesah dalam mengharungi kehidupan sehingga sampai ke destinasi yang seterusnya. Anak-anak yang lahir ke dunia ini mempunyai tabiat dan ciri-ciri yang tersendiri yang menjadi fitrah kejadiannya. Ciri-ciri inilah sebenarnya yang menampakkan sifat keanakannya yang perlu difahami oleh setiap ibu bapa.

Berikut adalah ciri-ciri atau tabiat kanak-kanak yang perlu difahami oleh penjaga dan ibu bapa;
1- Suka bergerak ke sana ke mari dan tidak duduk diam
Sikap anak-anak yang sentiasa bergerak ke sana ke mari dan tidak duduk diam ini telah menarik perhatian Rasulullah saw dalam sabda Baginda yang bermaksud; Kanak-kanak yang sentiasa berpeluh (aktif) sewaktu kecil akan meransang otaknya ketika dewasa”. Ini bermakna kanak-kanak yang suka bermain, melompat, memanjat dan sebagainya meransang otaknya dan menjadikannya seorang pintar dan berkebolehan apabila dewasa kelak.

Peranan ibu bapa dalam memastikan keaktifan kanak-kanak tersebut berada pada landasan yang betul ialah membimbing dan membentuk tingkah laku mereka mengikut cara yang positif dan betul dalam ajaran Islam. Bagi menangani keaktifan tadi, para ibu bapa boleh mendidik mereka melaksanakan kerja rumah, mengemas, menyusun atur, menyapu lantai, mengemas bilik tidur dan lain-lain aktiviti yang berfaedah dan berguna.

Membawa kanak-kanak keluar ke padang permaianan atau taman permainan adalah cara yang boleh meransang otak kanak-kanak untuk bergerak dan bermain. Selain daripada itu tugas ibu bapa juga menyediakan persekitaran yang sihat dan saleh untuk anak-anak berkawan dan bermain.

2- Kuat mengikut
Kanak-kanak suka mengikut apa jua yang dilihat dan disaksikan oleh mata mereka daripada orang yang lebih tua terutama ibu bapa, guru-guru dan keluarga terdekat mereka. Sama ada yang mereka pandang itu perbuatan yang baik atau buruk. Sebab itulah tidak menghairankan apabila ada dalam kanak-kanak yang berumur tujuh tahun sudah berani merokok dan memakai alat solek yang keterlaluan.

Tindakan ini berkemungkinan mereka lakukan kerana mengikut tabiat dan tingkah laku ibu dan bapa mereka atau sesiapa yang rapat dengan mereka. Sekiranya mereka melihat ustazah mereka memakai gincu ke sekolah, mereka juga akan melakukan perkara yang sama apabila keluar rumah, walaupun ibu mereka tidak sedemikian. Ini kerana pengaruh guru itu kadang-kadang lebih besar daripada kata-kata dan tindakan seorang ibu.

Peranan ibu bapa dan pendidiklah untuk mengimbangi perkara ini dengan menceritakan kisah-kisah benar tentang para sahabat dan orang-orang soleh, bersama-sama pergi solat berjamaah di masjid bagi kaum lelaki dan solat berjamaah di rumah bagi anak-anak perempuan serta menayangkan video-video yang bersifat kepahlawanan dan keberanian kepada anak-anak seperti kisah Omar Mokhtar, Mohamad al-Fatih, Salahuddin al-Ayubi dan lain-lain.

3- Bersifat keras kepala dan suka melawan.
Sifat ini sebenarnya merupakan tabiat usia seorang kanak-kanak. Sekiranya kita berhadapan dengan anak-anak yang memanjat katil dalam keadaan kakinya yang kotor kemudian enggan turun dari katil tersebut, atau anak-anak yang enggan untuk tidur walaupun disuruh beberapa kali untuk tidur, keengganan itu adalah sifat tabie seorang kanak-kanak.

Kekerasan tidak akan membantu diri anak-anak untuk berubah dan mendengar kata. Malah kekerasan akan menyakitkan anak tersebut dan ibu bapa sendiri. Ibu bapa mungkin sakit hati dengan kedegilan tersebut dan mungkin akan membuat tindakan yang diluar kawalan perasaan seperti memukul, mengherdik dan sebagainya. Akhirnya tiada siapa yang menang, anak sakit akibat kena pukulan, sakit hati dengan herdikan dan kemarahan, manakala ibu bapa pula sakit hati kerana kata-katanya tidak dipedulikan.

Apa yang boleh dilakukan ialah bercakap dengan anak tersebut, bercerita kisah-kisah yang menjadi pengajaran seperti kisah kedegilan syaitan untuk tunduk pada manusia dan balasan yang diterima akibat kedegilan tersebut dan kisah-kisah yang berbentuk pengajaran yang lain.

4- Tidak boleh membezakan antara yang baik dengan yang buruk.
Seorang anak yang melihat ibunya memetik mancis untuk menyalakan dapur dan sebagainya mungkin akan menggunakan kaedah yang sama untuk membakar rumah tanpa disedarinya. Mereka juga akan mencelupkan tangan mereka ke dalam jag yang berisi air panas dan menghulurkan jari ketika kipas sedang berpusing. Semua ini berlaku kerana mereka masih belum mampu membezakan antara bahaya atau tidak, buruk atau baik. Begitu juga seorang kanak-kanak tidak boleh membezakan antara kotor dan bersih, seperti contoh seorang kanak-kanak yang melihat ibu kucing menjilat bulu anaknya, sekonyong-konyongnya dia juga cuba untuk menjilat bulu anak kucing tersebut.
Sebab itulah ibu bapa dan penjaga diminta agar sentiasa berhati-hati dan menyimpan alat-alat yang tajam seperti gunting, pisau dan mancis di tempat yang selamat yang tidak boleh dicapai oleh tangan kanak-kanak.
.
5- Banyak bertanya
Mereka akan bertanya apa sahaja, di mana sahaja tanpa mengira waktu dan situasi ibu bapa dan penjaga. Antara persoalan yang yang ditanya adalah berkaitan dengan pengetahuan seperti; Di mana Allah? Ada soalan dalam bentuk memalukan ibu bapa sendiri; Kenapa perut ayah lebih buncit dari perut ibu? Ada soalan yang menakutkan; Betul ke kita semua akan mati?

Ibu bapa yang berhadapan dengan soalan seumpama ini hendaklah bijak menjawab pertanyaan tersebut dengan logik dan benar. Elakkan daripada berbohong yang akibatnya sangat buruk di kemudian hari

Oleh: Ustazah Norsaleha bt Mohd Salleh
Ketua Wanita ISMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan